Bumi Maghribi, saya dan Andalus

Berlatarbelakang Masjid Sunnah, Rabat (Dari kiri Muhaimin, Nuaim, Wan Hakimin, saya dan Fakhrurrazi)

Berlatarbelakang Masjid Sunnah, Rabat (Dari kiri Muhaimin, Nuaim, Wan Hakimin, saya dan Fakhrurrazi)

Dari mata turun ke hati. Itulah pengembaraan yang boleh saya gambarkan ketika berada di bumi Maghribi. Sebuah negara yang sangat dekat dengan benua Eropah iaitu di sebelah utaranya terletak negara Portugal dan Sepanyol, berkedudukan paling barat di tanah Afrika Utara. Sudah pastinya, pemandangan matahari terbenam begitu menakjubkan. MashaAllah, memang padan dengan namanya Maghribi.

Coretan ini, berkemungkinan saya adalah antara ribuan atau jutaan rakyat Malaysia yang pernah sampai ke sini. Teruja saya katakan, Maghribi sebuah negara yang sangat menarik dan cantik. Tahun 2007, merupakan tahun kedua saya di KUIS. Limpahan syukur tidak terhingga kerana Allah SWT telah mengurniakan saya jodoh paling istimewa terpilih sebagai pelajar KUIS untuk mendalami ilmu di sana. Coretan ini saya pasti menarik walaupun tidak lama, namun pengalaman belajar dan hidup di bumi Maghribi masih mengetuk hati dan jiwa ini untuk saya bicarakan kepada semua.

Terpilih antara yang terpilih

Peta Dunia

Peta dunia: Anda boleh lihat Morocco terletak paling kiri berdekaan Algeria, Spain dan Portugal. Bayangkan betapa jauhnya dari Malaysia.

Saya merasai telah dipilih, dijodohkan dan ditakdirkan oleh Allah Taala. Belajar di KUIS, membawa 1001 kenangan suka dan duka. Dan pengembara ke bumi Maghribi yang pernah merintis para pejuang Islam seperti Tariq Ibn Ziyad, Musa Ibn Nusayr, Ibn Battutah dan Yusuf Ibn Tashfin rahimahullah alaihim adalah satu kembara paling istimewa dalam hidup saya.

Kalau Allah SWT takdirkan “Kun” maka “jadilah”. Tarbiah hidup diperantauan adalah satu jihad apatah lagi pergi untuk menadah ilmu dan mendapat siraman barakah dari para alim dan asatizah. Sungguh saya kagumi, orang yang tidak layak seperti saya, terpilih menyertai sahabat – sahabat bijak pandai yang lain ke sana. Uqbah bin Nafi’ adalah antara watak penting bagi menjayakan misi dakwah Rasulullah SAW, menyemarakkan iman ke bumi Afrika hinggalah ke negara kaum bar – bar ini.

Disinilah bermula Islam ke Eropah melalui selat Gibraltar. Kisah Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusayr bersama angkatan Mujahidin yang terdiri dari muslimin menyatakan taat setia kepada Khalifah Al-Walid bani Umawi melancarkan misi dakwah ke sana. Tariq Ibn Ziyad dan mereka ke sana kerana terpilih, dipilih oleh Allah SWT atas satu matlamat.

Granada Spain

Islam masuk eropah bermula dari Maghribi pada 711M, dan disemarakkan oleh Turki Uthmaniyyah selepas 39 tahun kejatuhan Konstantinople (1453M) pada waktu itu kejatuhan Islam Granada 1492M.

Kota Rabat

Rabat adalah ibu negara bagi Maghribi, kami mendarat di Aeroport Mohammed Al-Khamis di Casablanca Darul Baido’. Perjalanan dari Casa ke Madinatur Ribat mengambil masa selama 2 jam dengan menaiki bas. Kota Rabat merupakan bandar tertua dan ke-empat terbesar di Maghribi. Saya catatkan berdasarkan tahun saya mengembara ke sana sekitar bulan 11 tahun 2007.

Rabat, merupakan bandar lama yang berusia lebih ratusan tahun. Bahkan sebelum Islam bertapak disini sudah ada tamadun Rom yang mendiaminya. Namun begitu, tinggalan sejarah Islam mendominasi watak negaranya walaupun negara ini dalam era awal kurun ke 18 dijajah oleh Perancis sekitar tahun 1912 masihi. Antara bandar yang pernah dijadikan ibu negara bagi Maghribi seperti Fas “Fez”, dan Marrakush “Marrakech”.

Terkenal dengan jolokan Maghrib Al-Aqsa, sebenarnya meliputi kawasan yang lebih luas sewaktu pemerintahan Islam bani Umawi yang terdiri daripada Algeria, Tunisia, Libya dan beberapa negara Afrika Utara yang lain. Maghribi, mendapat kemerdekaan lebih awal setahun dari Malaysia iaitu tahun 1956 masihi.

DSCN1124

Bazar di Kota Lama Rabat, menjual pelbagai barangan terutama kulit yang berkualiti. Kelihatan menara masjid yang menjadi simbol Islam di Maghribi.

DSCN1199

Kesesakan madinah Rabat, dikelilingi dengan kubu yang dibina oleh Kerajaan Islam Al-Muwahhidun.

Ribatul Fatih (Kubu Kemenangan)

Malam pertama hingga ketiga, saya dan beberapa orang rakan tinggal betul – betul di souk (pasar) di blok funduq taaruudan (Hotel). Tarudan adalah nama tempat di Morocco. Sampai di Madinah Ar-Rabat, sedang berlangsung aktiviti perniagaan seperti pasar malam, sangat sesak dan pelbagai jenis barangan dijual terutama pakaian dan aksesori.

Kota Rabat dikelilingi kubu – kubu yang dibina oleh pemerintah Kerajaan Islam sejak awal 700 masihi. Kerajaan Islam Al-Muwahhidun atau dalam bahasa latin “Almohad” adalah kerajaan yang menggantikan Kerajaan Islam Al-Murabitun “Almoravid” pada awal abad ke 9. Pada 1146 masihi, menurut sejarah Amir al-Muslimin Abd Mu’min mengubah landskap Rabat dengan kubu dan tembok sepenuhnya bagi menunjukkan penguasaan kerajaan Al-Muwahhidun sebagai pemerintah Islam di Maghrib.

Di dalam kubu Kota Rabat, terdapat suuk qadim (pasar) seumpama bazar Masjid Jamek di Kuala Lumpur. Saya tertarik dengan cara susunan kasut, pelbagai barang keperluan dan barangan kulit yang dijual di suuk qadim kerana sangat berkualiti dan murah. Pagi – pagi, selesai solat subuh saya dan beberapa teman akan bersiar – siar menghidu udara segar sekitar kota rabat. Jika malamnya sibuk dengan aktiviti pasar, tetapi bila pagi di Rabat sangat menenangkan.

tembok rabat

Kubu Rabat ini mengelilingi bandar Rabat, yang dibina awal abad ke 12.

suk 10

Comel abang ni, memang murah hati berikan saya harga pelajar.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Check Out selepas beberapa hari menginap sementara di Funduk Taroudant, Bandar Rabat

Menara Masjid Hassan II & Dorih

Sumi’ah (Menara) Masjid Hassan II, terletak berdekatan dengan tempat yang bernama Sale, berpemandangan hadapan Wad Abu Raqraq (Sungai Abu Raqraq) yang indah. Saya sempat beberapa kali ke sini, bersama teman – teman KUIS dan turut serta Ustazah Ghanzah Towil dan Ustazah Nurah Farhi (merupakan guru bahasa). Menara masjid Hassan II menyimpan cerita yang berbeza sejak mula dibina pada 1195 masihi.

Menara ini adalah menara masjid yang tidak lengkap dibina kerana kematian Sultan Ya’kub al-Mansur pada tahun 1199 masihi. Tiang – tiang yang tinggal menjadikan masjid Hassan II sebagai masjid berbumbungkan langit. Arkitek yang membina masjid ini adalah orang yang sama dalam membina menara Giralda di perkarangan Masjid Ishbiliyya “Seville”, Sepanyol yang kini diubah menjadi gereja. Menara ini, adalah yang pertama dan digunapakai rekaan oleh para arkitek barat dalam membina gereja mereka di eropah.

morocco_map_history_almohads2_318px_01

Kerajaan Al-Muwahhidun memerintah sejauh Andalus – Maghribi – Algeria – Tunisia – Afrika.

Sultan Abu Yusuf Ya’kub al-Mansur, merupakan raja yang membantu umat Islam di Andalus (Sepanyol dan Portugal). Beliau amat terkenal dengan gelaran “Al-Mansur Billah”. Di Andalus ada 2 tokoh digelar Al-Mansur, dan beliau dari Al-Muwahhidun. Dikatakan beliau menghafaz Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Gelaran “Al-Mansur” diberikan kerana beliau menewaskan angkatan Kristian Castile yang berjumlah 300,000 tentera dalam Perang Al-A’raak (Alarcos) 1195M di kawasan antara Toledo dan Granada. Perang ini mengakibatkan, Kristian Castile lumpuh selama beberapa tahun.

Berdekatan dataran masjid Hassan II terdapat Dhorih Muhammad al-Khamis (Makam) berkubah warna hijau. Di dalamnya terdapat makam Raja Hassan II dan makam anaknya. Makam ini begitu eksklusif bercirikan arkitektur dinasti Alawi. Pemerintahan di Maghribi sangat unik dan pelbagai, dan corak mazhab yang dipegang dengan kuat adalah Mazhab Maliki. Pengalaman bersolat subuh jemaah tanpa bacaan qunut berimam mazhab Maliki menjadi kelaziman bagi pelajar seperti kami, namun indahnya apabila salah seorang dari kami menjadi imam disini, mereka tiada masalah untuk menjadi makmum. Inilah cantiknya bermazhab.

memel16

Kami bersama Ustazah Noura El-Farhi ketika melawat Doorih Muhammad V

IMG_1421

Inilah menara masjid Hassan II yang tidak lengkap dibina oleh Sultan Abu Yusuf Al-Mansur, pemerintah ketiga Al-Muwahhidun (Andalus – Morocco)

Nama besar sekitar Rabat

Bila berjalan dan bersiar sekitar Rabat, menariknya banyak nama – nama tokoh Islam yang diabadikan sebagai nama jalan dan tempat. Seumpama di Kuala Lumpur, kita ada nama Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Masjid Jamek dan Jalan Tunku Abdul Rahman bagi menghargai perjuangan mereka sebelum ini. Namun, cukup berbeza di Maghribi kerana sekitar jalan – jalan utama dan lorong mematrikan nama tokoh Islam seluruh dunia.

Sekiranya anda peminat sejarah atau muarrikhun, pastinya nama – nama seperti Ibn Tumart, Tariq Ibn Ziyad, Yusuf Ibn Tashfin, Abu Nuwas, Al-Ghazali, Ibn Khaldun, Ahmad Yazid, Uqbah b. Nafi’, Mansur Az-Zahabi dan nama – nama kerajaan Islam pun menjadi penanda jalan. Satu jalan yang buat saya terkejut adalah Syaari’ Sukarno”. Satu usaha yang sangat baik untuk dijadikan contoh. Menggunakan akronim nama – nama tokoh Islam secara global.

Pemandangan Lautan Atlantik

Jarak rumah sewa kami, tidak lah begitu jauh ke kawasan pantai. Jangan terkejut, kerana kawasan pantainya tidaklah sehalus dan berpasir seperti pantai Cahaya Bulan, di Kelantan. Boleh saya katakan pantai keras.

Sekeliling pantainya berbatu, dan berlubang. Lubang – lubang tersebut dipenuhi dengan lokan dan kepah. Suasana sangat menenangkan, ditemani hembusan angin pantai Bahr al-Mutawassit “Lautan Atlantik” dan panorama matahari tenggelam. Pastinya, hati akan menangis melihat betapa besarnya nikmat Allah Taala berikan kepada setiap bangsa, panorama yang berbeza apatah lagi dapat menatap sendiri dengan mata dan tubuh disini. Pantai Oudaya, satu tarikan yang mengujakan Subhanallah

Matahari

Inilah Maghribi, matahari terbenam yang sangat saya rindui saat ini. MashaAllah. Pemandangan Lautan Atlantik yang menderu.

Kupang

Mencari kupang dan lokan dipesisir pantai yang berbatu. Orang Maghrib tidak makan kupang, untung la kami. Menurut mazhab Maliki disini kupang adalah tergolong dalam “hasyaraat” iaitu serangga.

Kasbah de Oudayas

Ada bahagian di utara Rabat, berdekatan Sale dibina sebuah tempat seakan – akan taman “Andalusia” yang dikenali Kasbah de Oudaya juga dibina sewaktu zaman Abu Yusuf Al-Mansur. Ini mengingatkan saya kepada Kerajaan Islam yang bertapak di bumi Andalus (Sepanyol, Portugal dan selatan Perancis) pada sejak 711M oleh Musa Ibn Nusayr, Abd Aziz dan Tariq Ibn Ziyad. Sejarah membuktikan, Islam Andalus adalah kemuncak kegemilangan umat Islam yang bertahan selama lebih 800 tahun dan berakhir dengan kisah sedih umat Islam dipaksa murtad, diseksa, dan dihalau dari tanah air. Banyak ibrah yang berguna, melihat betapa pentingnya sejarah Islam kepada umat masakini.

Kerajaan Islam Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun dari Maghribi, berbangsa barbar (a’jam) sanggup menyeberang ke Andalus bagi menyelamatkan warisan akidah di bumi eropah selama 400 tahun sebelum Islam jatuh lebih awal atas tekanan Kerajaan Kristian. Dan Garnatoh “Granada” yang ditadbir oleh Bani Nasr adalah satu – satunya wilayah muslimin yang bertahan selama 200 lagi setelah kesemua taifah ditawan Kristian Qastalah “Castile” – Aragon, dan Portugal.

Satu catatan sejarah yang amat hebat bagi Maghribi ialah pada tahun 1578 masihi, kesultanan Maghribi, Sultan Abdul Malik disokong oleh Turki Uthmaniyyah mereka berjaya mengalahkan satu angkatan besar Kristian Portugal yang diketuai oleh King Sebastian I dalam peperangan Al-Qasr Al-Kabir di utara Maghrib. Kemenangan dipihak muslimin, menghancurkan angan – angan mereka untuk mendominasi Maghribi dan mengkristianisasikan muslim disini.

memel11

Bergambar di depan Pintu Utama Kasbah de Odayas (Kubu Islam Al-Muwahhidun)

DSCN1496

Taman indah menghiasi di dalam Kasbah de Oudayas

DSCN1389

Lepak sambil menghargai nikmat Iman, melihat alam dengan Iman di tepi Pantai Oudayas.

Tidak adil jika kita katakan matematik lebih penting berbanding sejarah, kerana dari mana datangnya matematik? Kerana dalam sejarah banyak nombor dan matematik.

#Catitan ini, bukanlah catatan penuh saya selama 30 hari. Bersambung.

Salah silap mohon teguran

73_1

Selimutsura@ http://www.ayyuhalmuzzammil.wordpress.com | http://www.najmeeqamar.blogspot.com

Saujana Melawati, Kuala Lumpur

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s