Imam Baqi Ibn Makhlad al-Andalusi : Mengemis ilmu dari Sepanyol ke Baghdad

Siapakah beliau?

Sudah pastinya kita tidak pernah tahu siapakah Imam Baqi Ibn Makhlad al-Andalusi? Apatah lagi mendengar kisahnya yang sangat masyhur dikalangan ulama’ dan ahli ilmu, juga para pencinta sejarah Islam Andalus. Para penuntut ilmu hadith, sangat malu jika anda tidak mengenalinya, sejarah, peribadi dan akhlak beliau.

Beliau juga dikenali dengan nama Abi Abdur Rahman Baqi Ibn Makhlad al-Andalusi al-Qurtubi, juga seorang Tabi’ At-Tabiin.

Ulama’ mufassir dan alim hadith tersohor ini lahir di bumi Qurtubah (kini Cordoba) pada bulan Ramadhan abad ke 7, 201 H (816 M) seratus tahun selepas pembukaan wilayah Semenanjung Iberia kini Sepanyol dan Portugal oleh Tarik Ibn Ziyad, Musa Ibn Nusayr dan pasukan muslimin pada tahun 92 H bersamaan 711 M pada zaman Khalifah Umawi, Al-Walid Ibn Abdul Malik.

Muka depan

———————————————————-

Penjelajahan ilmu

Pada usia muda beliau, gigih mempelajari ilmu hadith di ibu kota Islam Umawi II iaitu Cordoba daripada gurunya Muhammad Ibn Isa al-A’sha dan Yahya al-Masmudi. Pada ketika itu Masjid Jamek, Cordoba merupakan pusat tumpuan para ilmuan, dan tempat berlakunya integrasi dan toleransi ilmiah terkemuka dunia di eropah dan maghrib al-Aqsa. Institusi ilmu di Cordoba, sebaris dengan kota-kota ilmu yang lain seperti Makkah & Madinah, Kota Baghdad, Kota Damsyik, Kota Qairawan dan lain – lain membentuk satu jaringan merentasi benua.

Diriwayatkan, beliau telah melakukan 2 siri penjelajahan ilmu secara solo dengan berjalan kaki tanpa menunggang apa-apa kenderaan dan haiwan ketika itu. Siri pertama pada awal usia 20-an selama 20 tahun, dan siri kedua mengambil masa lebih 14 tahun.

Menyeberangi selat Jabal Tarik (kini Gibraltar), beliau mengembara dan bertalaqqi ilmu bertemu dengan para alim di Afrika, Mesir, Makkah, Madinah, Damsyik, Baghdad, Basrah dan Kufah (Iraq). Diceritakan beliau duduk, mencari dan mengumpulkan ilmu-ilmu hadith daripada lebih dari 280 masyaikh (para alim).

Peta Imam Baqi

Antara guru-gurunya ialah Al-Allamah Sahnun Ibn Said, Awn Ibn Yusuf, Yahya Ibn Bukayr, Ibrahim Ibn Muhammad al-Makki, Salmah Ibn Syabib, Ibrahim Ibn Mundhir al-Madani, Abu Mus’ab al-Zuhri, Safwan Ibn Soleh al-Dimashqi, Yahya Ibn Abdullah al-Himmani, Imam Ahmad Ibn Hanbal, Ahmad Ibn Ibrahim al-Baghdadi, Khalifah Ibn Kayyat, Abu Bakr Ibn Abi Syaibah dan banyak lagi Rahimahumullah ajmain.

Penjelajahan Imam Baqi Ibn Makhlad bukanlah semata-mata kembara menuntut ilmu, bahkan usaha beliau mengumpulkan hadith-hadith, dan ilmu – ilmu yang lainnya menjadi inspirasi dan refleks kepada pembangunan tamadun insaniah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah di Andalus (eropah). Beliau juga membawa pulang khazanah ilmu “seumpama segunung emas” dari barat hingga jauh ke timur dikumpulkan, dan dibahagi-bahagikan kepada semua orang.

Beliau memperkenalkan dua kitab besar yang lengkap, menjadi bahan rujukan dan perbahasan ilmu di Kota Cordoba iaitu Mushannaf Abi Syaibah dan al-Umm karangan Imam As-Shafie rahimahumullah. Sehinggakan, berita tersebut mendapat perhatian oleh Amir Cordoba bagi memperoleh kesahihan dan betapa autentiknya kitab tersebut akhirnya Amir Muhammad Umawi memerintahkan kitab itu disalin dan disebarkan.

Amir Muhammad I Ibn Abdul Rahman (238 – 273 H/ 852 – 886 M), pemerintah Andalus memberi sokongan yang kuat kepada beliau dengan kata – katanya :

“Sebar luas ilmu pengetahuanmu tentang hadith, dan semarakkan apa saja kerja – kerja berkaitan hadith tanpa halangan.”

Kesungguhan dan kegigihan beliau dalam ilmu hadith membuahkan hasil apabila terbinanya Dar al-Hadith al-Qurtubah (Akademi Hadith). Beliau dijemput oleh Allah pada bulan Jamadil akhir di Cordoba pada tahun 276 H/ 889 M.

47_thumb

Kehebatan beliau diakui oleh para ulama’ pada zamannya dan kini.

Imam Ibn Hazm Al-Andalusi Az-Zohiri ada menyebut, Tafsir Imam Baqi dan Tafsir Ibn Jarir At-Tobari merupakan 2 kitab tafsir yang sangat hebat, namun kitab Tafsir Imam Baqi ada keistimewaannya. Musnad Imam Baqi pula, mengumpul banyak fatwa para sahabat radhiyallahuanhum dan tabiin. Keistimewaannya beliau lebih dhobit, tsiqah, dan itqon berbanding mushannif yang lain sebelum dan pada zamannya.

Imam Al-Hafizh Adz-Dzahabi berkata Imam Baqi adalah seorang imam, mujtahid, soleh, robbani, sentiasa benar, mukhlis, sangat alim pada zamannya dan tidak ada seseorang yang menyerupainya, beliau sendiri memberikan fatwa-fatwa hadith dan tidak bertaklid kepada sesiapapun.

——————————————————–

Mengemis ilmu dirumah Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah

Kisah ini sangat masyhur.

Di Baghdad ketika ini, berlaku fitnah yang sangat besar terhadap Al-Allamah Al-Hafiz Imam Ahmad Ibn Hanbal. Tersebarnya fahaman “Al-Quran itu makhluk”. Kita kini mengenali beliau sebagai salah seorang Imam besar 4 mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, Imam mazhab Hanbali.

Imam Ahmad bin Hanbal dipaksa untuk tidak berjumpa dan bermuamalah dengan masyarakat Baghdad, juga tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk solat berjemaah di Masjid. Beliau di “band” daripada menyampaikan syarahan dan ceramah oleh pemerintah dan orang – orang yang cuba menjatuhkannya.

Pada suatu hari, Imam Baqi Ibn Makhlad masuk ke Masjid Jamek Baghdad dan mendengar syarahan ilmu yang disampaikan oleh seorang ulama’ besar Yahya Ibn Ma’in, dikelilingi ramai orang. Setelah selesai kuliah, Imam Baqi bertanyakan soalan tentang rijal fil hadith (periwat hadith) Hisham Ibn Ammar.

Yahya Ibn Ma’in menjawab, dia seorang yang tsiqoh, dan sangat tsiqoh, Imam solat di Damsyik, jika dirinya memakai pakaian hebat mendedahkan kepada sifat kibr, tidakkan akan mengurangkan kelebihan dan kemuliaannya.”

Lalu ditanya lagi oleh Imam Baqi, apa pendapatmu tentang Imam Ahmad Ibn Hanbal?” Soalan itu adalah untuk menguji Yahya Ibn Ma’in samada beliau berani untuk membela saudaranya atau bimbang kepada hukuman kerajaan.

Yahya Ibn Ma’in menjawab, “tentang Ahmad Ibn Hanbal. Beliau adalah Imam (guru) kepada orang Islam, dan beliau adalah yang terbaik dikalangan umat Islam.”

Selepas itu, Imam Baqi Ibn Makhlad bergerak menuju ke kediaman Imam Ahmad Ibn Hanbal dan menemuinya. Imam Baqi mengetuk pintu, dan Imam Ahmad membuka lantas bertanya,siapa kamu? Nampak asing (bukan dari Baghdad). Dari mana?”

“Saya datang jauh, dari tempat yang jauh di barat (Magrib)”. Jawab Imam Baqi.

“Dari Maghrib? Dari Maghrib al-Aqsa? (Barat yang jauh), Dari negara Andalus?” Bertanya Imam Ahmad.

Imam Baqi menjawab, ya saya datang dari Andalus”.

“Apa yang kamu mahu dariku?” Balas Imam Ahmad.

“Aku ingin menuntut, meriwayatkan hadith dari padamu.” Jawab Imam Baqi.

“Bukankah kau tahu, aku tidak dibenarkan untuk menyampaikan hadith?” Kata Imam Ahmad, lantas Imam Baqi membalas. Ya, tahu”. Imam Ahmad mengulangi kembali, aku tidak boleh menyampaikannya”.

Apa kata Imam Baqi.

“Aku boleh datang setiap hari ke rumahmu dengan berpakaian (menyamar) sebagai seorang pengemis, dan memintamu sesuatu untuk diberikan demi mendapat ganjaran dari Allah, maka kau bukalah pintumu untuk ku menadah satu, dua hadith darimu.”

Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah, menerima keikhlasan Imam Baqi. Dan setiap hari, beliau menyamar berpakaian sebagai pengemis dan menuntut hadith selama masa Imam Ahmad Ibn Hanbal dibebaskan dari tuduhan dan bersih dari segala fitnah pada zaman Khalifah al-Mutawakkil billah Abbasi, dan diterima untuk menyampaikan kuliahnya di masjid semula.

Tidak ada anak murid yang paling dekat di sisi Imam Ahmad ketika bersyarah di masjid, kecuali tempat itu untuk Imam Baqi Ibn Makhlad rahimahullah, atas keyakinan dan kecintaannya terhadap ilmu.

———————————————————————

Ibrah:

  • Kita dituntut untuk mencari ilmu sehingga ke liang lahad.
  • Rasa hormat terhadap ilmu dan orang yang menyampaikan ilmu iaitu guru.
  • Pengembaraan adalah guru terbaik untuk mengajar tentang kehidupan.
  • Menyampaikan ilmu walaupun hanya sekecil kerikil, sptmn Sabda Rasulullah SAW “Ballighu Anni walau ayah”.

Sedikit perkongsian, dari penulis yang faqir lagi lemah.

Salah silap mohon teguran

73_1

Selimutsura@http://www.ayyuhalmuzzammil.wordpress.com |http://www.najmeeqamar.blogspot.com

Saujana Melawati, Kuala Lumpur

Leave a comment