Tragedi Viking melanggar Andalus

Tragedik Viking

Siapakah bangsa Viking?

Secara umum, Viking merupakan satu klan yang berasal dari Utara Eropah disekitar wilayah Scandanivian kini iaitu Sweden (Swedish)[1], Denmark (Danish)[2] dan juga Norway (Norwegian)[3]. Mereka dikenali dengan pelbagai identiti seperti Northmen bermaksud orang dari utara, lordemanos atau lodimanos dirujuk pada dunia Kristian[4], Rus menurut catatan Ahmad Ibn Fadlan[5], dan Majus[6] menurut Muslim di Andalus yang merujuk kepada kaum menyembah api dan pagan.

Viking meluaskan pengaruhnya pada abad ke 7 – 10 melangkau jauh dari benua Amerika di utara sehingga ke timur tengah dengan berlayar. Secara fizikal, majoriti mereka berkulit putih, rambut berwarna coklat dan kuning. Mereka sangat mahir bertukang, dan membina rumah kayu dan kapal, petani dan nelayan, penjelajah, pahlawan dan pedagang yang hebat. Salah faham tentang tentera Viking adalah mereka memakai topi besi bertanduk. Ini adalah tidak benar![7]

Faroe_stamps_515-517_everyday_life_in_the_viking_age

Ancient

———————————————————-

Eropah dihantui kedatangan Viking

Penjelajahan Viking ke dunia luar melalui lautan dan sungai – sungai telah membawa kepada penjajahan. Pada tahun 800 – 1000 M Mereka telah meneroka ke utara Atlantik (Iceland) sehingga ke utara Amerika dan Canada, menuruni ke selatan iaitu Sepanyol sehingga ke Afrika Utara, ke sebelah timur hingga ke Rusia (Khazar dan Volga), Constantinople (Istanbul) hingga ke timur tengah. Wilayah – wilayah eropah menjadi kawasan sasaran mereka pada abad ke 7 seperti wilayah Britain, Wales, Scotland, Ireland, Frankish (Perancis), Sepanyol & Portugal (ketika itu Andalus), Jerman dan Itali.

firstacross_vikingexplorationroutes

Kehadiran Viking yang melanda pelusuk dunia eropah bersama ratusan kapal memberi gambaran jelas kedatangan tetamu yang tidak diundang ini akan keghairahan mereka. Apa yang berlaku? Setiap tempat singgahan mereka bakal menjadi padang jarak padang tekukur. Ramai nyawa yang melayang tidak kira wanita dan kanak – kanak, mereka bakal menjadi tawanan dan mangsa Viking, harta diangkut memenuhi kapal – kapal mereka dan bangunan – bangunan termasuk masjid dan gereja bakal dimusnahkan.

——————————————————–

Catatan Sejarahwan tentang Viking ke Andalus

Andalus, sebuah kerajaan Islam yang terbina dengan darah dan airmata di benua asing. Pada abad ke 7, Andalus seumpama sebutir permata, yang sedang digilap keagungan dan kegemilangannya. Terletak di benua eropah[8] yang meliputi negara Sepanyol, Portugal dan sebahagian Perancis. Nama Andalus, berasal dari nama Vandalusia iaitu satu suku Eropah orang – orang Vandal (Tanah Vandal) yang mendiami kawasan tersebut sejak abad kelima masihi.[9] Andalus juga membawa makna lembah hijau.

            Pelbagai versi, catatan sejarah dan manuskrip yang membuktikan kehadiran Viking ke dunia Islam. Di Andalus, Viking dikenali dengan panggilan Majus[10], persamaan yang diberikan kepada orang – orang Parsi, kaum yang menyembah api sebelum kedatangan Islam. Manuskrip lama berkaitan negara Islam Andalus, yang diperintah oleh Bani Umayyah sejak 92 H (711 M)[11] sangat terbatas. Namun beberapa rujukan ini, memberi mesej yang mendalam akan kewibawaan para sejarahwan Islam Andalus seperti Ahmad Ibn Ar-Razi (seorang Sejarahwan Ulung ketika itu), dan anaknya Isa Ibn Ahmad, Ibn Al-Qutiyya dan Ibn Hayyan al-Muqtabis, Ibn Idhari Bayan, Ibn Habib dan Tammam Ibn Al-Qama[12].

al-andalu

     Manakala catatan dalam beberapa manuskrip Kristian juga disebutkan tentang ancaman Viking ke Semenanjung Iberia seperti Annales Bertinian dan Asturian Chronicles[13] dan beberapa lagi. Dalam penulisan ini, saya akan merujuk berdasarkan beberapa versi daripada sejarahwan Islam untuk mendapat informasi dan memberi gambaran tragedi Viking melanggar Andalus pada tahun 229 H (844 M) dan kali kedua pada tahun 244 H (859 M) melalui catitan orang Andalus.

Penulisan dibawah ini adalah peristiwa sejarah pada tahun 844 M, dan bukanlah terjemahan catatan sebenar para sejarahwan.

————————————————————————–

Andalus, dilanggar Viking!

Tahun itu 229 H (844 M). Zaman Abdul Rahman II (822 – 852 M), Amirul Muslimin Kerajaan Islam Andalus.

Andalus, digegarkan dengan serangan perajurit Viking di wilayah Asturius, utara Galicia iaitu Gijon (Sepanyol), selepas itu kapal – kapal orang utara tersebut menyeberangi lautan Atlantik dan menyerang Ishbunah (Lisbon) pada awal bulan Dzulhijjah dan menakluk kota tersebut dari tangan orang Islam. Mereka menduduki kota tersebut selama 13 hari dengan menghadapi 3 kali pertempuran dengan penduduk tempatan muslim.[14]

            Mereka bergerak sepantasnya bagai ribut melanda ke Cadiz, dan tiba di wilayah Sidonia. Tentera Muslimin diketuai Lubb b. Musa mempertahankan kawasan tersebut. Isa Ibn Ahmad, seorang sejarahwan terkenal Andalus pada masa itu, mencatatkan tempat pertama orang – orang Viking berlabuh di Isle Qabtil (Isla of Menor) sekitar sungai Wadi al-Kabir (Guadalquivir) dan mereka menghantar 5 buah kapal dan berperang dengan orang Yaman Yahsub Bani Ma’di yang menetap di Coria. Kesemuanya terbunuh. Pada hari ketiga, selepas menduduki Qabtil, sasaran seterusnya adalah Kota Ishbiliyyah (Seville).

Amir Abdul Rahman II menerima surat dari Gabernor Ishbunah (Lisbon), Wahballah Ibn Hazm mengkhabarkan 44 kapal perang Viking dan 44 bot berlabuh di pelabuhan Lisbon, menurut catatan Ibn Hayyan menyebut 54 buah kapal. Dengan segera, Amir Abdul Rahman II mengutuskan surat ke seluruh pelusuk wilayah Andalus akan ancaman besar yang bakal mereka hadapi.[15]

            Menurut Ahmad Ibn Ar-Razi pada hari ke 14, bulan Muharram 230 H (10 Okt 844 M), Kapal perang Viking merentasi sungai Wadi al-Kabir (Guadalquivir) menuju ke Madinah Ishbiliyyah (Kota Seville). Kota Seville merupakan kota besar yang maju, ibu kota pertama selepas kejayaan pembukaan Islam ke Sepanyol tahun 711 M oleh Tariq Ibn Ziyad. Abdul Aziz Ibn Musa Ibn Nusayr, merupakan wali Andalus pertama pada zaman Khalifah Sulaiman Bani Umayyah di Seville sebelum berpindah ke Qurtubah (Cordoba, Sepanyol) pada tahun 717 M.

      Mereka siap mendarat di Pelabuhan Ishbiliyyah (Seville) yang mana kebanyakan penduduk telah pergi meninggalkan kota tersebut pergi ke Kota Qarmunah (Karmona) utara Seville, berlaku beberapa pertempuran dan pertahanan daripada pihak muslimin. Viking menawan kota dengan mudah. Selama 7 hari, orang – orang Viking menjarah bumi Seville, masjid dan gereja dengan membunuh lelaki, wanita dan kanak – kanak, merampas segala harta dan benda naik ke kapal – kapal mereka dan bergerak semula ke Pulau Qabtil[16].

Sea-faring Danes depicted invading England. Illuminated illustration from the 12th century Miscellany on the Life of St. Edmund. Pierpont Morgan Library.

      Mereka berkhemah di Pulau Qabtil semula, dimana semua tahanan (tawanan) dikumpulkan untuk dijadikan bahan strategi jahat mereka supaya penduduk Seville datang mendapatkan ahli keluarga yang ditawan, tetapi sebaliknya tiada siapa datang menuntut. Lalu, orang – orang Viking kembali semula ke Kota Ishbiliyyah (Seville) dan mendapati ada sebilangan menyerah diri dijadikan tawanan. Di masjid Jamek Ishbiliyyah, berlaku serangan daripada Muslimin yang berkubu di situ. Mereka dikepung dan gugur syahid. Masjid itu dikenali dengan panggilan Masjid Syuhada’.[17]

            Amir Abdul Rahman II, putera Andalus mempersiapkan skuad khas diketuai Muhammad Ibn Said Ibn Rustum dan mengarahkan seruan perajurit-perajurit mujahidin daripada Cordoba untuk berkhemah di Al-Jarafe (Alcor, Seville). Beliau mengutuskan surat kepada gabernor – gabenor di Andalus dan melaungkan seruan jihad bagi mempertahankan negara daripada bahaya anasir luar. Rakyat datang dari pelbagai daerah dan kampung berkumpul di Qurtubah (Cordoba), diketuai Panglima Abdul Rahman II, iaitu Yunus Ibn Abul Fath yang mengetuai perajurit muslimin ke Al-Jarafe.

vikings_tv_review_a_l

The Vikings – Travis Fimmel (RAGNAR), Gustaf Skarsgard (FLOKI) & Vladimir Kulich (ERIK) picturedPhoto by Jonathan Hession / HISTORY Copyright 2011

jIHAD

Amir Abdul Rahman II, mengumpulkan kekuatan muslimin dan penduduk Andalus bagi menghadapi Viking.

              Ibn Said Ibn Rustum, dan skuad khas bakal berhadapan dilapisan pertama dengan mengatur strategi dan perangkap di bibir sungai. Tentera Viking beranggapan skuad Ibn Rustum sedikit dan lemah, lalu mereka mengejar sehingga ke Taylatah (Tejada). Pada hari Jumaat 9 Safar 230 H Viking diserang dan terperangkap lalu berlakulah pertempuran dua pihak. Dengan izin Allah, pertempuran ini berpihak kepada kaum Muslimin, memberi kejutan dan amaran kepada Viking untuk berundur dari tanah Andalus. Ketua mereka terbunuh, dan ribuan pengikut – pengikutnya turut sama terkorban, dan 400 lagi ditawan, dengan meninggalkan 30 buah kapal lalu dibakar. Berita kemenangan Muslimin Andalus mengalahkan tentera Viking tersebar dengan cepat ke seluruh benua eropah dan sampai ke pengetahuan Amir Barbar di Afrika Utara, Aflah Ibn Abdul Wahhab (Kerajaan Rustam di Tahert) merupakan sekutu Umayyah Kerajaan Andalus.[18]

            Sejak peristiwa tersebut, Amir Abdul Rahman II mengarahkan pembinaan kubu dan menara lebih kukuh mengelilingi Kota Seville, dan pelabuhan tentera[19] bagi mengawal pantai sekitar laluan persisir lautan berdekatan. Kejutan Viking menyerang Andalus menjadi satu mimpi ngeri Muslimin di Andalus seumpama Tar Tar Mongol melanggar Kota Baghdad pada tahun 655 H (1258 M). Kebimbangan penduduk Andalus kembali tenang, selepas Viking dikalahkan.

Namun pada tahun 244 H (859 M), Viking kembali bersama kapal – kapalnya hingga ke Nakur di Maghribi.

————————————————————————–

Ibrah:

  • Umat Islam sentiasa diancam, dari depan, belakang, atas bawah, kiri dan kanan. Kita perlu bersedia menghadapi dengan ilmu yang mantap, iman yang teguh dan amal yang istiqamah.
  • Keberanian semata – mata tidak mampu mengalahkan sesiapa, walaupun orang yang lemah. Namun keimanan adalah bentang paling kuat untuk menundukkan kebatilan walaupun terkorban.
  • Bangsa Viking, adalah satu klan yang hebat dalam pelayaran dan pertukangan. Bahkan mereka mempunyai semangat yang kuat untuk menjelajah ke pelusuk dunia walaupun terpaksa meredah lautan Atlantik Utara, Baltik, Utara (lautan bergelora).
  • Sejarah membuktikan, hubungan antarabangsa antara dunia Islam dan luar begitu dinamik dan saling berpaut. Jaringan ini, membawa kepada pembinaan sebuah tamadun yang hebat.

Sedikit perkongsian, dari penulis yang faqir. Mohon tegur apa – apa kesalahan dan kelemahan adalah daripada pihak penulis. Yang Maha Hebat itu Allah.

Salah silap mohon tegur

73_1

Selimutsura@http://www.ayyuhalmuzzammil.wordpress.com |http://www.najmeeqamar.blogspot.com

Saujana Melawati, Kuala Lumpur

——————————————————————

[1] https://sweden.se/society/history-of-sweden/

[2] http://www.visitdenmark.com/a-z/6238/2826

[3] http://www.fjordnorway.com/top-attractions/vikings

[4] Victor Emanuel Aguirre, The Viking Expeditions To Spain during the 9th Century, Odense (2013).

[5] Ahmad ibn Fadlan ibn al-`Abbas  ibn Rashid ibn Hammad merupakan utusan atau wakil Khalifah al-Muqtadir Abbasiyyah ke negara Volga, Bulgars (Rusia). Catatan beliau yang sangat terkenal adalah Ar-Risalah Ibn Fadlan mengisahkan pengembaraan beliau bertemu dengan sekumpulan Viking.

[6] Elsa Raquel Fernandes Cardoso, Diplomacy and oriental influence in the court of Cordoba (9 – 10th), Lisbon (2015).

[7] Boleh tengok video di link http://www.fjordnorway.com/top-attractions/vikings & web : http://www.visitdenmark.com/a-z/6238/2826

[8] Aidil Adha Sulaiman, Dari Andalusia ke Amerika, Karya Bestari (2015).

[9] Chejne dan Anwar G, Muslim Spain: Its History and Culture, Minneapolis: The University of Minneasota
Press (1974).

[10] Elsa Raquel Fernandes Cardoso (2015).

[11] Albert F. Calvert, Moorish Remains in Spain, John Lane Company (Digitized by University of California).

[12] Victor Emanuel Aguirre (2013).

[13] Ibid

[14] Catatan Ahmad Ibn Muhammad Ar-Razi, Sejarah Para Amir Andalusia (History of Emirs of Andalus).

[15] Ahmad Ibn Ar-Razi.

[16] Isa Ibn Ahmad. Tokoh Sejarahwan Andalus, juga anak Ahmad Ibn Ar-Razi.

[17] Ibid

[18] Catatan Ahmad Ibn Muhammad Ar-Razi. Tokoh hebat sejarahwan Andalus.

[19] Catatan Ibn Al-Qutiyya

Leave a comment